
Laporan/foto: Salleh Immun/Almalhakim Norshidi (Mukah)
MUKAH, 30 Mac (MalaysiaAktif) – Seramai 21 penerima menerima Sumbangan Peruntukan Khas Fasa 1 bagi tahun 2026 melibatkan jumlah keseluruhan RM130,000 pada majlis di Pusat Khidmat Mukah, Jumaat lepas.
Pegawai Pusat Khidmat Almalhakim Norshidi yang mewakili Ahli Parlimen Mukah Hanifah Hajar Taib berkata peruntukan tersebut bertujuan memperkasa pembangunan komuniti setempat melalui sokongan pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan.
Dana berkenaan katanya disalurkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Peruntukan ini diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi melaksanakan program yang memberi impak positif kepada masyarakat,” katanya semasa menyampaikan amanat mewakili Hanifah.
Sumbangan itu melibatkan pelbagai kategori penerima yang aktif dalam penganjuran program sosial, kebajikan, pendidikan dan pembangunan komuniti.
Almalhakim dalam pada itu menjelaskan kerajaan komited memastikan pembangunan komuniti luar bandar terus diperkasa bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Pengerusi JKKK Jali Gani berkata peruntukan itu akan digunakan untuk menganjurkan program gotong-royong, sukan komuniti dan aktiviti pendidikan belia.
-RJ-





