
Laporan/foto: Nik Awang Yaacob/Zulkifli Othman (Terengganu)
BESUT, 30 Mac (MalaysiaAktif) – Selepas sambutan Aidilfitri, suasana di daerah ini kembali rancak dengan peningkatan kunjungan ke lokasi makanan tempatan dengan Warung Nasi Kerabu Golok Cikgu Aziz muncul sebagai antara tumpuan utama pengunjung.

Mohd Ab.Aziz Ismail sedang melayan pelanggan yang datang ke Warung Nasi Kerabu Golok.
Terletak di laluan strategik menuju ke Pasar Kampung Raja, warung berkenaan tidak putus-putus dikunjungi pelanggan sejak hari pertama beroperasi semula selepas cuti perayaan.
Pemiliknya, Mohd Ab. Aziz Ismail, 61, berkata setiap bahan disediakan dengan teliti setiap hari bagi memastikan kesegaran ulam-ulaman serta keaslian rasa budu yang menjadi elemen penting dalam hidangan nasi kerabu.
“Permintaan meningkat mendadak selepas Aidilfitri. Kami turut menambah bekalan daging bagi memenuhi keperluan pelanggan, khususnya sempena cuti sekolah dan kepulangan perantau,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.

Teknik pembakaran tradisional yang mengekalkan kelembapan daging, digabungkan dengan aroma perapan rempah ratus asli dari Golok, menjadikan hidangan di sini mempunyai keunikan tersendiri.
Menu seperti daging bakar dan kambing bakar menjadi pilihan utama pelanggan, hasil teknik pembakaran tradisional yang mengekalkan kelembapan daging serta aroma perapan rempah ratus asli dari Golok.
Selain menarik pengunjung dari dalam dan luar daerah, kehadiran pelanggan turut memberi limpahan ekonomi kepada peniaga kecil di sekitar kawasan Pasar Kampung Raja.
-RI





