
Laporan/foto: Syamilah Yusman (Johor)/Facebook IPD Johor Bahru Selatan
JOHOR BAHRU, 30 Mac (MalaysiaAktif) – Sebanyak 41 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam Op Khas Bersepadu Motosikal oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Johor Bahru Selatan di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata empat lelaki warga tempatan berusia antara 16 hingga 19 tahun turut ditahan kerana melakukan aksi berbahaya di jalan awam sehingga membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain
“16 buah motosikal turut disita atas pelabagai kesalahan jalan raya sepanjang operasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM5,000 dan maksimum RM15,000 serta penjara sehingga lima tahun, jika sabit kesalahan.
“Operasi ini dilaksanakan secara menyeluruh bagi membendung aktiviti lumba haram dan samseng jalanan yang semakin membimbangkan serta mengancam keselamatan pengguna jalan raya dan kententeraman awam.
“Aktiviti lumba haram dan samseng jalanan merupakan kesalahan serius yang tiada kompromi dan operasi seumpama itu akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa tejamin,” katanya.
-RI





