
Laporan/foto: Erzufariza Z (Rompin)/Kolej Komuniti Rompin
ROMPIN, 1 Apr (MalaysiaAktif) – Seramai 100 pelajar Orang Asli Tingkatan Lima daerah ini menyertai Program Pendidikan Murid Orang Asli (PEDULI) 2026 yang memberi pendedahan kemahiran asas masakan sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan.
Program sehari di Bengkel Masakan Kolej Komuniti Rompin (KKRP), di sini kelmarin itu menampilkan kursus penyediaan Tutti Fruity Pudding dan Shepherd’s Pie, dikendalikan barisan pensyarah berpengalaman dalam bidang kulinari.

Salah seorang pensyarah kulinari KKRP menunjukkan cara untuk menghasilkan sherperd’s pie dengan betul untuk hasil yang tepat dan enak
Pensyarah utama program Hasmahani Mahusin berkata inisiatif tersebut bukan sekadar memberi kemahiran memasak malah membentuk keyakinan diri serta semangat kerjasama dalam kalangan pelajar.
“Program ini memberi peluang kepada pelajar Orang Asli untuk mempelajari kemahiran praktikal yang boleh dijadikan asas kepada kerjaya atau sumber pendapatan pada masa hadapan.
“Selain itu, mereka juga didedahkan kepada teknik penghasilan produk makanan yang ringkas tetapi berpotensi untuk dikomersialkan,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.
Menurutnya, pendekatan pembelajaran secara amali membantu pelajar lebih mudah memahami teknik penyediaan makanan selain memupuk minat dalam bidang kulinari.
“Program ini turut disokong oleh beberapa pensyarah lain termasuk tenaga pengajar utama dan pembantu yang berperanan memastikan setiap peserta mendapat bimbingan secara menyeluruh sepanjang kursus berlangsung.

Sebahagian daripada peserta mengbadikan kenangan bersama pensyarah yang menjadi tulang belakang program PEDULI yang diadakan di Kolej Komuniti Rompin, kelmarin.
“Selain meningkatkan kemahiran teknikal, program tersebut juga bertujuan memperkasa pendidikan pelajar Orang Asli dengan memberi pendedahan kepada peluang kerjaya alternatif selepas tamat persekolahan,” katanya.
Hasmahani berkata usaha berterusan seperti ini penting dalam membantu meningkatkan kebolehpasaran pelajar, sekali gus membuka ruang kepada mereka untuk memperbaiki taraf sosioekonomi keluarga.
Program PEDULI merupakan antara inisiatif berfokus dalam memastikan tiada golongan pelajar tercicir di samping menyokong agenda pembangunan pendidikan inklusif di peringkat daerah.
-RI





