Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Tengku Mahkota Pahang Berkenan Raikan Peserta AMG Cemerlang SPM

By 3 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Akmar Zulkifli/Sh.Nurrul (Pahang)

KUANTAN, 3 April (MalaysiaAktif) – Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan berangkat ke Majlis Indahnya Syawal 2026: Menyulam Kasih, Menjalin Persaudaraan di Menara Kuantan 188, di sini semalam.

Tengku Mahkota Pahang menyampaikan sumbangan penghargaan kepada salah seorang pelajar cemerlang.

Majlis tersebut diadakan bagi meraikan 60 peserta program Akademi Menara Gading (AMG), Balok yang berjaya memperoleh semua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Pengurus Besar Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) Mohd Fakhrul Islam Juhali berkata majlis itu menjadi platform menghargai kecemerlangan generasi muda serta memperkukuh hubungan antara pelbagai pihak, khususnya para penyumbang kepada inisiatif YASA.

“Pengiktirafan kepada pelajar cemerlang ini diharap dapat menjadi inspirasi kepada rakan-rakan sebaya untuk terus berusaha mencapai kejayaan,” katanya.

Menurutnya, YASA yang memperkenalkan AMG sebagai salah satu inisiatif pendidikannya pada 1999 selaras aspirasi Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah komited untuk terus memperkasa pendidikan sebagai teras pembangunan ummah.

Muhammad Aufa Rafiq berjaya memperolehi keputusan 11A.

Sementara itu, menurut seorang peserta AGM, Muhammad Aufa Rafiq Zukri, 18, beliau sentiasa bersedia awal merupakan antara panduan kejayaannya.

“Biasanya saya akan semak jadual kelas seterusnya, subjek-subjek yang akan dipelajari. Saya akan buat ulang kaji awal sesuatu topik terlebih dahulu pada sebelah malam sebelum menghadiri kelas esoknya,” katanya yang juga merupakan pelajar lepasan Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib (SMART) di sini.

-RI

Tinggalkan komen anda