Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Karnival Buku Lipis 2026 Boleh Dicontohi Daerah Lain

By 3 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Muhamad Firdaus Hassan (Lipis)

KUALA LIPIS, 3 Apr (MalaysiaAktif) – Penganjuran Karnival Buku Lipis 2026 boleh menjadi asas kepada penganjuran program sama di daerah lain pada masa hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Dato’ Sabariah Saidan berkata penganjuran karnival tersebut dilihat setaraf dengan penganjuran di peringkat negeri.

“Ia bukan sahaja memupuk minat membaca, malah menghimpunkan pelbagai aktiviti bermanfaat untuk semua lapisan masyarakat,” katanya pada majlis perasmian tersebut di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.

Karnival yang berlangsung selama lima hari bermula semalam sehingga 6 April ini menawarkan jualan buku serendah RM1 serta pelbagai aktiviti menarik seperti ceramah, kuiz santai dan pertandingan tulisan khat.

Turut disediakan adalah aktiviti khusus untuk kanak-kanak dan keluarga termasuk peragaan busana serta cabaran Jenga bagi memeriahkan suasana.

Sementara itu, seorang pengunjung, Muhammad Uwais Wazir Mohamad Hanif, 15, mengakui teruja untuk hadir ke karnival itu bersama rakan sekolah kerana terdapat banyak koleksi buku yang sukar diperolehi di kedai biasa.

“Kehadiran ke sini memudahkan kami mencari bahan bacaan berkualiti pada harga murah, sekali gus menyemai semangat cintakan ilmu dalam kalangan pelajar,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda