
Laporan/foto: M Zakry Chan (Melaka)
PAYA RUMPUT, 3 April (MalaysiaAktif) – Program Marhaban Syawal anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Krubong Heights Fasa 1, di sini semalam menghidupkan kembali tradisi masyarakat Melayu itu yang semakin jarang diamalkan.
Setiausaha KRT Taman Krubong Heights Fasa 1, Zaki Hamsah berkata program itu memberi peluang kepada generasi muda mengenali dan menghayati budaya marhaban yang menjadi identiti masyarakat setempat.
“Ia juga bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim selain memupuk nilai kebersamaan dalam komuniti.
“Melalui penganjuran program seperti ini, kita dapat menghimpunkan penduduk dalam suasana santai dan harmoni, sekali gus mengukuhkan lagi perpaduan serta semangat kejiranan,” katanya kepada Malaysia Aktif.
Program itu disertai penduduk pelbagai lapisan umur yang bersama-sama menjayakan aktiviti marhaban dari rumah ke rumah.
-FN





