
Laporan/foto: Farah Shaherza (Kuantan)/KKPB
KUANTAN, 5 April (MalaysiaAktif) – Pencapaian Malaysia yang berada di kedudukan ke-33 dalam The Global Innovation Index (GII) 2024 merupakan petunjuk positif kepada perkembangan inovasi negara.

Antara pensyarah yang menyertai InnoReCon 2026.
Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi (PPI), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Dr. Shahiza Ahmad Zainuddin berkata pencapaian itu perlu dijadikan pemangkin untuk memperkukuh peranan warga akademik sebagai penyumbang aktif dalam ekosistem inovasi negara.
Ia katanya termasuk menerusi pelaksanaan Bengkel Innovation Research Conference (InnoReCon 2026) Peringkat Kebangsaan, di sini Khamis lalu yang disifatkan sebagai cerminan komitmen berterusan institusi pendidikan tinggi dalam memperkukuh ekosistem penyelidikan.
“Program ini bukan sahaja menjadi wadah perkongsian ilmu, malah membina jaringan kolaborasi serta memacu penghasilan inovasi berimpak,” katanya pada program berkenaan.
Bengkel anjuran Unit Penyelidikan Inovasi dan Komersialan (UPIK), Kolej Komuniti Paya Besar (KKPB) bertemakan ‘Innovate, Research, Present’ itu menghimpunkan 68 pensyarah dan penyelidik bagi memberi fokus kepada penghasilan kertas penyelidikan berasaskan inovasi, sekali gus memperkukuh budaya penyelidikan dalam kalangan warga Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
-RI





