
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SELAYANG, 5 April (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Selangor bakal mengumumkan beberapa langkah khusus dalam tempoh dua minggu bagi memperkukuh usaha pemulihan ekonomi dan jaminan kesejahteraan rakyat negeri itu.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata inisiatif tersebut merupakan langkah proaktif bagi mendepani krisis global yang tidak menentu, sekali gus menyokong usaha yang sedang dilaksanakan di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Amirudin beramah mesra dengan orang ramai yang hadir di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Taman Templer yang diadakan di Dataran Ilmu semalam.
Beliau menjelaskan bahawa tumpuan utama akan diberikan kepada golongan rentan dan mereka yang terkesan dengan isu kos sara hidup bagi memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada menerima bantuan.
“Kita mahu Selangor kekal berada dalam keadaan bersedia walaupun berdepan krisis tertentu. Pengumuman ini penting bagi memperkukuh ketahanan rakyat dalam mendepani situasi luar jangka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Taman Templer di Dataran Ilmu, Bandar Baru Selayang, di sini semalam.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer merangkap Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor Anfaal Saari serta Pegawai Daerah Gombak Nor Azlina Abdul Aziz.
Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak mengakui konflik di Timur Tengah telah memberi impak kepada landasan pertumbuhan ekonomi yang sepatutnya lebih baik berbanding tempoh sebelum pandemik.
Jelas beliau, kerajaan terpaksa mengambil langkah penjimatan demi memastikan kelangsungan hidup rakyat terjamin, selain meminta orang ramai untuk terus bersabar dan bertenang menghadapi cabaran bekalan semasa.
Tegasnya, meskipun situasi global agak mencabar, bekalan tenaga negara khususnya gas dijangka mencukupi sehingga hujung tahun 2026 berdasarkan maklum balas daripada pihak Petronas.
-RI





