
Laporan/foto: Aishah Latip (Lundu)
LUNDU, 4 April (MalaysiaAktif) – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato’ Sri Nancy Shukri meneruskan Program Ziarah Kasih dengan menyantuni seorang pesakit kronik di Kampung Stunggang Melayu Baru, di sini semalam.
Lawatan tersebut bertujuan meninjau keadaan Hajman Sidi, 58, yang menghidap penyakit kencing manis serta kegagalan buah pinggang dan kini menjalani rawatan hemodialisis sebanyak tiga kali seminggu di Hospital Lundu sejak November 2022.
“Kerajaan sentiasa komited membantu golongan memerlukan khususnya pesakit kronik agar mereka dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik dan terjamin,” kata Nancy ketika ditemui media dalam siri lawatan kerja ke daerah ini semalam.
Nancy yang turut menyampaikan Bantuan Kasih Prihatin Yayasan Kebajikan Negara (YKN) berjumlah RM300 kepada Hajman berkata program seumpama ini mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan kebajikan golongan rentan terus terbela.
Hajman turut menerima bantuan peralatan sokongan berupa kerusi roda daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memudahkan pergerakan harian beliau.
Hajman, penerima Skim Bantuan Penjagaan Orang Kurang Upaya (OKU) atau Pesakit Kronik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan kadar RM500 sebulan tidak lagi mampu bekerja akibat keadaan kesihatannya yang merosot sekali gus menjejaskan pendapatan serta keupayaan menampung kos sara hidup dan rawatan.
Program Ziarah Kasih merupakan antara pendekatan kerajaan dalam mendekati rakyat khususnya golongan rentan di samping memperkukuh perpaduan komuniti.
-RJ-





