Skip to main content
Berita TempatanSarawak

BDR Perlu Diteliti Ikut Keperluan, Kesesuaian

By 5 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aishah Latip/Cassidy Lisut (Lundu)

LUNDU, 4 April (MalaysiaAktif) – Pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) perlu diteliti semula dari segi keperluan serta kesesuaian dan tidak wajar dilaksanakan secara menyeluruh tanpa mengambil kira skop tugas.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato’ Sri Nancy Shukri berkata tidak semua pekerjaan sesuai untuk dilaksanakan dari rumah.

“Penentuan kelayakan BDR wajar diserahkan kepada ketua jabatan yang lebih memahami skop tugas serta keperluan operasi organisasi masing-masing,” katanya ketika ditemui media selepas lawatan kerja rasmi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu, di sini semalam.

Nancy mencadangkan supaya ketua jabatan diberi tanggungjawab untuk menilai kesesuaian kakitangan sama ada perlu hadir ke pejabat atau sebaliknya.

Nancy ketika ditemui media memberitahu pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) perlu diteliti semula dari segi keperluan dan kesesuaian.

Nancy turut mengakui cabaran yang dihadapi ibu bapa dalam mengurus rutin harian termasuk urusan penghantaran anak ke sekolah sama ada bekerja dari rumah atau di pejabat.

“Perkhidmatan tertentu memang tidak bersesuaian untuk bekerja dari rumah, jadi perkara ini perlu dilihat secara realistik,” katanya.

Menurut beliau pelaksanaan dasar itu masih di peringkat pemantauan serta penambahbaikan bagi memastikan keseimbangan antara keperluan kerja dan kesejahteraan rakyat.

Sementara itu, lawatan rasmi tersebut katanya bertujuan memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi kerajaan khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) demi manfaat masyarakat.

Perancangan pembangunan IPD Lundu antara yang turut dibincangkan termasuk cadangan penempatan baharu berhampiran Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) Lundu.

-RJ-

Tinggalkan komen anda