Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

45 Pelajar Terima Manfaat Program Bantuan Cermin Mata

By 6 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Maznah Ngah/Ahmad Syafri Husnaini (Terengganu)

KUALA TERENGGANU, 6 April (MalaysiaAktif) – Seramai 45 pelajar daripada sepuluh sekolah terpilih menerima manfaat menerusi Program Bantuan Cermin Mata serta sumbangan duit raya dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Auditorium, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Jumaat lalu.

Ucapan aluan oleh Ketua Pegawai Eksekutif ,Yayasan Pendidikan MAIDAM.

Program anjuran Yayasan Pendidikan MAIDAM (YPM) dengan kerjasama Takaful Ikhlas General Berhad, Terengganu itu merupakan inisiatif kebajikan yang memberi tumpuan kepada kesihatan penglihatan dalam kalangan pelajar sekolah, khususnya daripada keluarga kurang berkemampuan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pendidikan MAIDAM Norhana Yaakub berkata program tersebut dirancang secara teliti berdasarkan data yang dikumpulkan daripada sekolah-sekolah di lapan daerah di Terengganu bagi memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

“Program ini bukan dilaksanakan secara kebetulan, sebaliknya melalui proses penelitian menyeluruh. Setiap permohonan dinilai dengan teliti agar manfaatnya sampai kepada pelajar yang layak,” katanya.

Penyerahan bantuan cermin mata dan duit raya kepada pelajar sekolah.

Bagi pelaksanaan Fasa 1, kesemua 45 pelajar menerima tajaan penuh berupa cermin mata yang disediakan mengikut keperluan masing-masing, selain turut menerima sumbangan duit raya sempena sambutan Syawal berjumlah RM10,000 hasil tajaan penuh daripada Takaful Ikhlas General Berhad, Terengganu.

Menurut Norhana, inisiatif ini akan diteruskan ke fasa seterusnya dengan sasaran memperluaskan bantuan kepada lebih ramai pelajar di seluruh negeri melalui kerjasama strategik bersama penaja korporat lain.

-RI

Tinggalkan komen anda