
Laporan/foto: Aini
KANGAR, 6 April (MalaysiaAktif) – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perlis telah mengeluarkan Notis Larangan serta Surat Arahan bagi menghentikan kerja serta-merta di sebuah tapak pengkuarian di negeri ini susulan insiden yang meragut nyawa seorang pekerja, kelmarin.
Menurut kenyataan oleh Pejabat Pengarah JKKP Perlis yang dikeluarkan hari ini, notis berkenaan kekal berkuatkuasa sehingga semua keperluan keselamatan di tapak berkenaan dipatuhi sepenuhnya.
“Sebarang bentuk kecuaian atau kegagalan mematuhi prosedur keselamatan adalah satu kesalahan serius dan boleh dikenakan tindakan undang-undang tanpa kompromi.
“Semua majikan, kontraktor dan subkontraktor diingatkan agar sentiasa mematuhi perundangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta melaksanakan kawalan risiko secara berterusan bagi memastikan keselamatan pekerja sentiasa terjamin,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, mangsa, warga tempatan yang bekerja dengan subkontraktor di tapak berkenaan ketika kejadian sedang menjalankan kerja penggerudian lubang bagi tujuan peletupan sebelum terkena serpihan batu secara tiba-tiba, pada 9.15 pagi.
Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan kepala sebelum disahkan meninggal dunia akibat komplikasi kecederaan tersebut.
“Siasatan awal mendapati terdapat kelemahan dari aspek pengurusan keselamatan di tempat kerja,” menurut kenyataan itu.
-RI





