Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Tango Moden Iban Terus Mekar, Generasi Muda Pelihara Warisan

By 7 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurie Botik (Sarawak)

KUCHING, 7 April (MalaysiaAktif) – Pembuatan tango atau perhiasan manik secara moden oleh golongan muda memperlihatkan warisan tradisional itu mengalami proses evolusi namun tanpa menjejaskan identiti asalnya yang sinonim dengan masyarakat Iban.

Sekiranya dahulu proses pembuatan tango yang lebih dikenali sebagai marik empang mungkin rumit dan memakan masa, namun kini dengan kecanggihan teknologi dan peralatan, ia dapat disiapkan dengan lebih mudah tanpa menjejaskan keindahannya.

Bagi Loseyeffer Molly pembuatan tango bukan sekadar hobi, tetapi merupakan satu bentuk penghargaan terhadap warisan nenek moyang.

Bagi penggiat seni kraf muda, Loseyeffer Molly, 42, pembuatan tango bukan sekadar hobi, tetapi merupakan satu bentuk penghargaan terhadap warisan nenek moyang.

“Minat yang mendalam sangat penting dalam bidang ini. Selain itu, kemahiran jari juga memainkan peranan besar kerana setiap perincian perlu dilakukan dengan teliti.

“Penghasilan tango memerlukan tahap ketelitian yang tinggi, terutamanya dalam menyusun manik-manik kecil agar membentuk corak yang kemas dan menarik,” jelas beliau kepada Malaysia Aktif, semalam.

Menyentuh mengenai penglibatan golongan muda dalam penghasilan tango, beliau berkata ia memberi nafas baharu kepada warisan Iban berkenaan kerana mereka bukan sahaja mempelajari teknik tradisional, malah berani melakukan inovasi dari segi reka bentuk, warna dan kegunaan tango moden agar lebih relevan dengan generasi masa kini.

“Usaha ini bukan sahaja membantu mengekalkan kesinambungan budaya, malah berpotensi menjana ekonomi melalui penghasilan produk kraf yang mempunyai nilai komersial tinggi.

“Dengan sokongan berterusan, tango moden berupaya menembusi pasaran lebih luas termasuk di peringkat antarabangsa,” katanya.

Secara keseluruhannya, kebangkitan tango moden dalam kalangan generasi muda membuktikan bahawa warisan budaya tidak lapuk ditelan zaman, sebaliknya terus berkembang dan kekal menjadi lambang kebanggaan masyarakat Iban.

-FN

Tinggalkan komen anda