Skip to main content
Berita TempatanSabah

Produk Fibrebites Cookies Harumkan Nama Politeknik Sandakan Di Pentas Inovasi

By 7 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sunday Grace Justimus/ Unit Komunikasi Korporat Politeknik Sandakan (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 7 April (MalaysiaAktif) – Inovasi empat pelajar Politeknik Sandakan Sabah (PSS) yang mempertaruhkan produk makanan kesihatan berjenama Fibrebites Cookies berjaya merangkul gelaran Naib Johan Anugerah Inovasi Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) 2025.

Produk berkenaan dihasilkan sebagai pilihan snek sihat mengikut keperluan gaya hidup moden.

Pengarah Politeknik Sandakan Sabah Mohd Sahran @ Awang Mohidin berkata kemenangan tersebut merupakan pencapaian besar dalam memartabatkan nama institusi berkenaan selain menjadi inspirasi untuk terus meneroka bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang memberi impak positif kepada ekonomi negeri.

Mohd Sahran menunjukkan tanda bagus bersama pasukan pelajar yang menghasilkan produk kesihatan Fibrebites Cookies semasa majlis pengiktirafan inovasi tersebut kelmarin.

“Pencapaian ini bukti nyata kepada daya kreatif pelajar kami serta keupayaan mereka dalam menyelesaikan masalah dunia sebenar melalui inovasi,” katanya kepada Malaysia Aktif semalam.

Wakil pasukan Andikah Nurhayat Razanali, 34, berkata kejayaan tersebut merupakan simbol pengiktirafan terhadap komitmen tinggi yang dicurahkan sepanjang proses pembangunan produk.

Beliau memberitahu pasukannya melalui pelbagai fasa ujian rasa serta penyelidikan ramuan sebelum berjaya menemui formula terbaik bagi biskut berkenaan.

“Kemenangan ini adalah suntikan semangat buat kami untuk terus berinovasi dan membuktikan pelajar dari Sandakan mampu berdiri sama tinggi dengan inovator lain,” katanya.

Pasukan inovasi tersebut terdiri daripada Andikah Nurhayat Razanali, Cybrian Cyril Ireneus, Crissy Yaduin serta Grace Ang Suh Yie di bawah seliaan Nurul Safeza Abdul Hajis.

-RJ-

Tinggalkan komen anda