
Laporan/foto: Sylvia Jocylena Sumping/Nur Hamizah Ilham/Shaifulnajmi Nasir (Kota Marudu)
KOTA MARUDU, 9 April (MalaysiaAktif) – Agenda membina kawasan perkampungan yang ceria, selamat dan bebas sampah terus dipergiatkan di kawasan luar bandar melalui pelbagai program komuniti.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tagaroh Ridjoe Galanang berkata kepimpinan akar umbi komited memastikan penduduk aktif mewujudkan suasana penempatan kondusif.

Peserta program gotong-royong Kampung Tagaroh merakamkan gambar kenangan di hadapan astaka Padang Kampung Tagaroh bagi memulakan agenda komuniti ceria serta bebas sampah di Kota Marudu.
Justeru, matlamat berkenaan jelasnya mampu dicapai dengan menyusun pelbagai aktiviti secara konsisten dan berkala melibatkan komuniti dari pelbagai peringkat usia antaranya menerusi program gotong-royong.
“Penganjuran kali pertama bagi tahun ini bukan sahaja mencerminkan komitmen padu penduduk dalam memelihara kebersihan dan keceriaan persekitaran malah mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.
“Kali ini kita disertai lebih 80 orang penduduk kampung menjayakan program gotong royong perdana Kg Tagaroh ini,” katanya kepada MalaysiaAktif, di sini semalam.
“Program ini bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat kerjasama demi kesejahteraan bersama,” katanya.
-RJ-





