Skip to main content
Berita TempatanSabah

Kampung Sumangkap Hab Penghasilan Gong Tradisional Sabah

By 12 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sylvia Jocylena/Nur Hamizah (Kota Marudu)

KOTA MARUDU, 12 April (MalaysiaAktif) – Kampung Sumangkap di Daerah Kecil Matunggong kekal sebagai pusat penghasilan alat muzik tradisional gong utama bagi pasaran Sabah dan Sarawak sejak tahun 1970-an.

Kawasan yang mempunyai 38 pengusaha aktif itu menjadi tumpuan pencinta seni budaya kerana kualiti pertukangan tangan penduduk asalnya.

Replika gong gergasi yang menjadi ikon Kampung Sumangkap di Matunggong, Kudat, berdiri megah sebagai simbol pusat membuat gong tradisional yang terkenal di daerah tersebut.

Pembuat gong, Rohana Mokuut, 47, berkata penghasilan alat muzik tersebut memerlukan teknik ketukan dan pendengaran yang sangat teliti.

“Seorang pembuat gong perlu mahir memastikan setiap biji daripada enam set gong lengkap menghasilkan bunyi berbeza mengikut saiz,” katanya ketika ditemui semalam.

Rohana menjelaskan semakin kecil saiz gong, bunyi yang dihasilkan akan menjadi semakin nyaring berdasarkan susunan kod bunyi tradisional.

Beliau yang berpengalaman selama 33 tahun menyatakan tiada alat khas digunakan untuk menguji kualiti bunyi selain bergantung sepenuhnya kepada kepakaran pendengaran.

“Kemahiran ini memerlukan fokus tinggi kerana jika bunyi paluan sumbang maka ia akan menjejaskan rentak tarian Sumazau,” katanya.

Rohana menunjukkan ketelitian cara mengetuk kepingan logam untuk menghasilkan gong tradisional di Kampung Sumangkap, Matunggong semalam.

Masyarakat Dusun dahulunya menilai status kekayaan sesebuah keluarga berdasarkan pemilikan set gong terutama yang diperbuat daripada tembaga.

Harga bagi satu set gong besi mencecah RM1,700 manakala set tembaga boleh mencecah nilai RM16,000 bergantung kepada kualiti bahan.

Proses pembuatan satu set lengkap mengambil masa antara dua minggu hingga sebulan mengikut keadaan semasa.

Penduduk kampung juga masih mematuhi hukum adat yang melarang sebarang kerja pembuatan gong sekiranya berlaku kematian di dalam kampung tersebut.

-RJ-

Tinggalkan komen anda