Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Bantuan YAPEIM Suntik Semangat 100 Pelajar Daerah Kemaman

By 12 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Shaik Fikri/Hamidah Abd Hamid (Terengganu)

KEMAMAN, 12 April (MalaysiaAktif) – Seramai 100 pelajar daripada lima institusi pendidikan di sekitar daerah ini menerima suntikan semangat apabila menerima sumbangan berjumlah RM10,000 daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) Daerah Kemaman dalam satu majlis yang berlangsung penuh bermakna, hari ini.

Sebahagian antara pelajar yang menerima bantuan tunai daripada pihak YAPEIM

Majlis penyerahan sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Perancangan, Pejabat Pendidikan Daerah Kemaman, Abu Khuaraiah Abu Bakar di perkarangan Cawangan Ar-Rahnu YAPEIM Kemaman, Chukai.

Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada pihak YAPEIM atas komitmen berterusan dalam membantu pelajar yang memerlukan, sekali gus membuktikan keprihatinan terhadap kebajikan dan masa depan generasi muda.

“Sumbangan ini bukan sahaja dapat meringankan beban kewangan pelajar, malah menjadi pemangkin motivasi untuk mereka terus fokus dan cemerlang dalam pelajaran,” katanya.

Bantuan yang disalurkan bertujuan menyokong keperluan pembelajaran para pelajar agar mereka dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap akademik tanpa dibelenggu kekangan kewangan.

Wan Nur Humaira Wan Ismail akan menggunakan bantuan ini sebaiknya bagi keperluan pembelajaran

Salah seorang penerima, Wan Nur Humaira Wan Ismail, 15, turut meluahkan rasa syukur dan penghargaan atas bantuan yang diterima.

“Saya amat berterima kasih kepada YAPEIM dan berjanji akan menggunakan sumbangan ini sebaiknya untuk keperluan pembelajaran,” katanya ketika ditemu bual di majlis tersebut.

Program ini diharapkan mampu memberi impak positif serta menyuntik semangat kepada para pelajar untuk terus melakar kecemerlangan dalam pendidikan dan kehidupan.

-AA-

Tinggalkan komen anda