
Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Syazwani Kamil (Marang)
MARANG, 13 April (MalaysiaAktif) – Pembinaan Kolej Matrikulasi Terengganu di Bukit Payong merupakan komitmen kerajaan dalam memperkukuh akses pendidikan prauniversiti, khususnya kepada pelajar di Pantai Timur, kata Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Detik simbolik gimik pecah tanah oleh Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Terengganu menandakan bermulanya projek Kolej Matrikulasi Terengganu.
“Kerajaan MADANI komited memastikan peluang pendidikan berkualiti dapat dinikmati secara lebih saksama oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira lokasi,” katanya ketika berucap di Majlis Pecah Tanah Kolej Matrikulasi Terengganu, Bukit Payong, di sini hari ini.
Dalam ucapannya, Anwar menegaskan bahawa pembinaan kolej tersebut menjadi pemangkin baharu kepada pembangunan pendidikan di negeri ini.
Menurut beliau, kewujudan Kolej Matrikulasi Terengganu dijangka dapat menampung peningkatan permintaan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengikuti program matrikulasi, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada institusi sedia ada di negeri lain.

Anwar meluangkan masa berswafoto bersama pelajar yang hadir pada Majlis Pecah Tanah Kolej Matrikulasi Terengganu di Bukit Payong.
Projek berkenaan dilihat mampu merangsang pertumbuhan ekonomi setempat melalui pembukaan peluang pekerjaan serta pembangunan infrastruktur di kawasan sekitar.
Dengan terlaksananya projek ini, Terengganu bakal memiliki sebuah lagi institusi pendidikan penting yang diyakini mampu melahirkan modal insan berkualiti selaras dengan aspirasi pembangunan negara.
-RI





