Skip to main content
Berita TempatanSarawak

SMK Sri Aman Rangkul Anugerah Emas Pertandingan Science Castle Malaysia 2026

By 17 April 2026April 20th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)

SRI AMAN, 17 April (MalaysiaAktif) – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Aman mengharumkan nama Sarawak apabila merangkul Anugerah Emas dan Anugerah Poster dalam pertandingan Science Castle Malaysia 2026 semalam.

Pertandingan yang berlangsung di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kota Samarahan itu menyaksikan pasukan SMK Sri Aman mempamerkan kecemerlangan menerusi projek inovasi sains yang berimpak tinggi.

Pasukan tersebut diwakili oleh Awang Fayruz Iman Awang Fadlee, Aariz Abdillah, Adrian Isaiah Niklas, Arif Fahmi Abdul Rahim dan Wan Mohd Syarim Wan Juwanda.

Pengurus pasukan Abdul Rahim Nawawi berkata kejayaan tersebut merupakan hasil usaha kolektif serta disiplin tinggi yang ditunjukkan oleh semua ahli pasukan sepanjang tempoh persediaan.

Beliau menjelaskan para pelajar telah menunjukkan komitmen luar biasa merangkumi aspek penyelidikan, kerjasama kumpulan serta pengurusan masa yang efektif.

“Mereka sanggup berkorban masa dan tenaga untuk memastikan setiap aspek projek berada pada tahap terbaik bagi memenuhi kriteria penilaian juri,” katanya kepada MalaysiaAktif hari ini.

Pembentang utama Aariz Abdillah, 15, berkata pengalaman menyertai pertandingan berkenaan memberi pendedahan besar kepada mereka dalam bidang komunikasi saintifik.

Beliau menjelaskan cabaran utama pasukan adalah menyampaikan idea kompleks dalam bentuk mudah difahami melalui latihan berterusan serta bimbingan guru.

“Kami berharap kejayaan ini menjadi pemangkin kepada pelajar lain untuk lebih berani menceburi bidang sains dan inovasi pada masa hadapan,” ujarnya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda