
Laporan/foto: Ainie Elah/Collin Kumar Ngalang (Sarikei)
SARIKEI, 17 April (MalaysiaAktif) – Program Jelajah Integriti Sarawak Siri 45 Peringkat Daerah Sarikei membuka minda peserta mengenai kepentingan integriti bagi memperkukuh tangungjawab bersama memerangi rasuah.
Chan Phan Chan, 64, berkata pendedahan diterimanya dalam program itu membantu meningkatkan kefahamannya berkaitan saluran aduan rasmi melaporkan salah laku berkenaan.
“Program ini juga memperjelaskan lagi peranan komuniti dalam menolak sebarang bentuk amalan salah guna kuasa.
“Saya berharap program kesedaran seperti ini diteruskan secara berkala kerana ia memberi impak positif kepada pemimpin di peringkat akar umbi,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini hari ini.
Program yang berlangsung di Dewan Suarah Sarikei itu menghimpunkan kakitangan kerajaan, ketua kaum, tuai rumah serta pemimpin komuniti bagi membentuk masyarakat yang mempunyai akauntabiliti serta kesedaran tinggi terhadap tadbir urus bersih.
Penolong Pegawai Kebajikan Bahagian Sarikei Nyambar Ginda, 48, memberitahu input yang diperolehi mampu membantu penjawat awam lebih peka dalam menjalankan tugas dengan penuh amanah.
“Setiap individu perlu sentiasa berpegang kepada prinsip integriti bagi mengelakkan sebarang salah laku yang boleh menjejaskan imej perkhidmatan awam,” katanya.
-RJ-





