
Laporan/foto: Loseyeffer Molly/Jackson Abell (Bau)
BAU, 19 April (MalaysiaAktif) –Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) memainkan peranan signifikan dalam memastikan kestabilan serta kesejahteraan komuniti sentiasa terpelihara di peringkat akar umbi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu Dato Miro Simuh berkata KMKK bukan sekadar pemimpin tetapi bertindak sebagai penggerak utama pembangunan dan perpaduan dalam sesebuah komuniti.
Beliau menyeru agar setiap peserta mengaplikasikan ilmu kepimpinan yang diperoleh demi membawa perubahan positif di kawasan masing-masing.
“Ketua masyarakat perlu lebih peka dan rasional dalam menilai setiap usaha pembangunan kerajaan agar manfaatnya dapat disampaikan dengan jelas kepada rakyat,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Penangguhan Kursus Pemerkasaan KMKK Daerah Bau dan Majlis Makan Malam di Pusat Kebudayaan Serembu, Kampung Peninjau Lama, di sini kelmarin.
Kursus berkenaan menghimpunkan 120 pemimpin komuniti dari kawasan Serembu bagi meningkatkan kemahiran penyampaian perkhidmatan yang lebih efektif kepada rakyat.
Peserta didedahkan dengan pengisian merangkumi aspek tadbir urus komuniti, komunikasi berkesan serta peranan sebagai penghubung antara rakyat dan agensi kerajaan.
Pegawai Daerah Bau, Eddy Noyoi menyifatkan kursus tersebut sebagai inisiatif bermanfaat dalam memperkukuh keupayaan membuat keputusan dalam kalangan ketua masyarakat.
“Program seperti ini mampu melahirkan pemimpin komuniti yang lebih berwibawa, berpengetahuan dan bersedia mendepani cabaran semasa,” katanya.
-RJ-





