
Laporan/foto: Mohd Sabri Sailus (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 21 April (MalaysiaAktif) – Kerjasama semua pihak dalam urusan pendermaan darah adalah penting bagi memastikan stok bekalan darah di hospital sentiasa mencukupi.
Setiausaha Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Sabah Julianah Mohd Said berkata atas dasar tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya mengambil pendekatan melaksanakan program derma darah dua kali setahun.
“Ini komitmen KWSP Sabah membantu institusi kesihatan memberikan perkhidmatan perubatan dan kesihatan terbaik kepada rakyat.
“Program dengan kerjasama Jabatan Perubatan Tranfusi (JPT) Hospital Queen Elizabeth II dan Sabah Care Fertility & Specialist Centre akan dilaksanakan secara berterusan dan lebih konsisten lagi,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini, hari ini.
Beliau turut berharap golongan belia akan tampil menerajui inisiatif tersebut selepas ini bagi memastikan bekalan darah yang selamat dapat dicapai melalui pendermaan oleh masyarakat secara sukarela.
Seorang penderma, Mawizah Al Manar, 34, mengajak orang ramai yang sihat dan layak untuk tampil menderma darah sebagai usaha murni membantu dan berkongsi nikmat kesihatan yang boleh dikongsi bersama.
“Inilah peluangnya untuk kita berbakti dan jangan tunggu sampai kesihatan kita merosot. Menderma darah bukan saja membantu mereka yang memerlukan tetapi sangat bermanfaat untuk kesihatan penderma darah sendiri,” kataya.
-RJ-





