
Laporan/foto: Syahrulizan Madian / Helmie Ekni (Daro)
DARO, 22 April (MalaysiaAktif) – GIATMARA Igan terus memainkan peranan memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui tawaran Kursus Teknologi Automotif Sijil Tahap 2 kepada belia di luar bandar.
Seramai 13 pelajar yang terdiri daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan individu tercicir telah mendaftar bagi mengikuti kursus jangka pendek selama enam bulan itu.
Pengurus GIATMARA Igan Syafiee Mohd Kadir berkata inisiatif tersebut bertujuan memberi peluang kepada belia memperoleh kemahiran asas serta meningkatkan tahap Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) sehingga Tahap 3.
Beliau menjelaskan program berkenaan turut menjadi platform penting bagi membolehkan pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat diploma pada masa hadapan.
“Bidang automotif kini mempunyai prospek pekerjaan yang amat menggalakkan selari dengan perkembangan industri semasa dan kami mengalu-alukan lebih ramai belia menyertai kursus ini,” katanya kepada Malaysia Aktif hari ini.
Menyentuh mengenai kebajikan pelajar, Syafiee berkata mereka yang berasal dari luar kawasan disediakan kemudahan penginapan transit sepanjang tempoh latihan serta menerima elaun bulanan sebanyak RM200.
Beliau justeru berharap lebih ramai belia di kawasan luar bandar memanfaatkan peluang di pusat latihan tersebut bagi meningkatkan kemahiran serta kebolehpasaran diri selaras komitmen agensi berkenaan dalam melahirkan tenaga kerja mahir yang mampu memenuhi permintaan pasaran industri automotif negara.
-RJ-





