
Laporan/foto: Azza Aziz/Facebook Datuk Fahmi Fadzil
PUTRAJAYA, 22 April (MalaysiaAktif) – Sebanyak 463 permohonan penurunan kandungan berita palsu telah diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) daripada orang awam berkait krisis bekalan global setakat 7 pagi, hari ini.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata daripada jumlah tersebut, platform Facebook mencatatkan permohonan tertinggi iaitu sebanyak 185 permohonan, diikuti TikTok (142 permohonan) dan Threads (131 permohonan).
“Daripada keseluruhan permohonan tersebut, sebanyak 65 kertas siasatan telah dibuka.
“Satu kes telah diputuskan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk didakwa di mahkamah, manakala lima kes menerima arahan kompaun. Selebihnya masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media mingguan, di sini hari ini.
Pada masa sama, beliau turut memaklumkan, kandungan berita palsu yang paling banyak dilaporkan adalah melibatkan isu harga bahan api serta tol Selat Hormuz.
Jurucakap Kerajaan MADANI itu menegaskan MCMC akan terus mempergiatkan pemantauan serta tindakan penguatkuasaan dalam usaha mengekang penyebaran maklumat palsu yang boleh menimbulkan kekeliruan awam.
Sehubungan itu, orang ramai disaran supaya sentiasa meneliti kesahihan sesuatu maklumat terlebih dahulu serta mendapatkan rujukan daripada sumber rasmi bagi mengekang penyebaran berita palsu.
-FN





