
Laporan/foto: Emran Ismail (Lipis)
LIPIS, 22 April (MalaysiaAktif) – Usaha gigih seorang pengusaha tembikai sambilan membuahkan hasil lumayan apabila berjaya menjana pendapatan sebanyak RM15,000 hingga RM18,000 bagi satu musim tuaian di Kampung Binjai, Lipis.
Menurut Nurbaiyah Ilias, 42, yang merupakan seorang ibu tunggal, minat terhadap pertanian bermula sebagai aktiviti sampingan bagi menambah pendapatan isi rumah, namun hasil yang memberangsangkan mendorong beliau untuk menguruskan tanaman tembikai dengan lebih serius dan terancang.

Nurbaiyah (kiri) bersama pemborong tembikainya
“Walaupun hanya secara sambilan, saya memberi tumpuan kepada aspek penjagaan seperti pembajaan, pengairan dan kawalan penyakit bagi memastikan buah yang dihasilkan berkualiti,” katanya ketika ditemui di kebunnya, di sini baru-baru ini.
Beliau menjelaskan bahawa tanaman tembikai mengambil masa kira-kira 65 hingga 75 hari untuk matang sebelum dituai, dan setiap musim memerlukan pemantauan rapi bagi memastikan buah mencapai saiz serta kemanisan yang dikehendaki pasaran.
Hasil tuaian yang diperoleh bukan sahaja dipasarkan di sekitar daerah Lipis, malah turut mendapat permintaan daripada pemborong luar kawasan berikutan kualiti buah yang baik dan konsisten.
Kejayaan Nurbaiyah yang sudah tiga tahun mengusahakan tanaman tembikai turut mencerminkan potensi sektor pertanian berskala kecil sebagai sumber pendapatan yang lumayan sekiranya diurus dengan cekap dan menggunakan teknik yang betul.
Dalam pada itu, beliau berharap lebih ramai penduduk kampung, khususnya golongan belia, dapat melihat bidang pertanian sebagai satu peluang ekonomi yang berdaya maju, walaupun dimulakan secara kecil-kecilan.
“Tidak perlu tunggu tanah luas. Dengan kawasan kecil pun, jika diusahakan dengan betul, hasilnya tetap berbaloi,” ujarnya.
-AA-





