
Laporan/Foto: AgKu Marzuki Ag Latip/Hendry Nurdin (Tawau)
TAWAU, 24 April (MalaysiaAktif) – Penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 wajar diteruskan dalam skala sederhana susulan persiapan rapi yang telah dilakukan oleh negeri-negeri terlibat.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata Sabah telah membelanjakan sejumlah peruntukan bagi tujuan persediaan atlet dan kontinjen negeri menghadapi temasya tersebut.
“Keputusan akhir berhubung penganjuran SUKMA 2026 bagaimanapun diserahkan sepenuhnya kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama kerajaan negeri Selangor sebagai tuan rumah.
“Apa juga keputusan nanti, kita akan hormati termasuk pandangan pihak berkepentingan. Namun, kita berharap ia dapat dilaksanakan dengan pendekatan terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Ceramah “Suburkan Iman, Sebarkan Ihsan” sempena Hari Wanita dan Bulan Syawal 2026 di Dewan Masyarakat Tawau, di sini semalam.
Beliau dalam pada itu memaklumkan persiapan atlet Sabah mendepani SUKMA 2026 sedang giat dijalankan bagi memastikan prestasi terbaik dapat dipamerkan termasuk di peringkat antarabangsa.
Kontinjen Sabah mensasarkan untuk meraih sekurang-kurangnya 40 pingat emas pada temasya dwitahunan tersebut yang dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026.
-RJ-





