
Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Norhafizah Abd Rahim (Terengganu)
MARANG, 27 April (MalaysiaAktif) – Orang ramai diingatkan agar mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka terutama ketika cuaca panas dan berangin, susulan risiko kebakaran yang boleh merebak dengan pantas serta mengancam keselamatan penduduk.
Penduduk setempat, Ramlah Seman, 58, berkata tahap kesedaran masyarakat perlu sentiasa dipertingkatkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, khususnya dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.
“Dalam keadaan panas terik dan angin kuat, api sangat mudah merebak. Jadi kita semua perlu lebih berhati-hati dan elakkan pembakaran terbuka,” katanya ketika ditemui pada Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) @ Sembang Santai di Taman Dato’ Ibrahim, di sini semalam.
Sementara itu, Ketua Komuniti MADANI taman berkenaan Mohamad Sufian Abd Manan menegaskan bahawa kerjasama komuniti memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan kawasan perumahan sentiasa terpelihara.
“Kesedaran dan tindakan bersama amat penting. Kita mahu kawasan ini kekal selamat, bersih dan bebas daripada sebarang insiden kebakaran yang boleh dielakkan,” katanya.
Menurutnya, langkah pencegahan awal seperti menghindari pembakaran terbuka bukan sahaja mampu mengurangkan risiko kebakaran, malah membantu menjaga kualiti udara dan kesihatan penduduk.
-AA-





