
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Noor Syuhada Yasin (Pokok Sena)
POKOK SENA, 27 April (MalaysiaAktif) – Sektor pertanian negara terus menunjukkan perkembangan positif apabila SME Agropark Pokok Sena muncul sebagai hab pertanian moden yang berpotensi besar dalam merancakkan ekonomi setempat serta memperkasa industri kecil dan sederhana (IKS).
Terletak di kawasan TKPM Gajah Mati, agropark ini menjadi tumpuan utama dengan penubuhan Hub Melon D’Aman yang memfokuskan kepada pengeluaran melon premium berkualiti tinggi dengan memperkenalkan teknologi moden ke dalam sektor pertanian tradisional.
Menurut Penolong Pegawai Pertanian Daerah Pokok Sena, Zulhilmi Mat Zaki penubuhan agropark ini merupakan satu inisiatif strategik bagi mengubah landskap pertanian di daerah tersebut.
“SME Agropark Pokok Sena bukan sahaja memberi fokus kepada pengeluaran hasil berkualiti tinggi seperti melon premium, tetapi juga menjadi platform untuk melatih usahawan tani dalam penggunaan teknologi moden.
“Kita mahu lihat lebih ramai golongan muda menceburi bidang pertanian secara komersial dan berdaya maju,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini semalam.
Dalam usaha memperkasa komuniti usahawan tani, agropark ini yang mula beroperasi sepenuhnya pada 1 Januari 2025 juga katanya menyediakan kursus teknologi pertanian yang memberi pendedahan kepada teknik penanaman moden, penggunaan sistem pintar serta pengurusan ladang secara efisien.
Beliau berkata langkah tersebut selari dengan hasrat kerajaan negeri Kedah untuk melahirkan lebih ramai usahawan tani berdaya saing.
SME Agropark Pokok Sena dilihat sebagai pemangkin baharu kepada pembangunan ekonomi pertanian di kawasan utara tanah air yang bukan sahaja membuka peluang pekerjaan, malah menarik minat pelabur serta pelancong ke daerah Pokok Sena.
-AA-





