
Laporan/foto: Siti Mariam Aziz/Zaidi Jamin (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 27 April (MalaysiaAktif) – Lebih 700 peserta menyertai program ‘Healthcare Charity Run’ bagi memupuk gaya hidup sihat dan semangat kesukarelawanan, di sini kelmarin.
Program anjuran Hospital Queen Elizabeth (HQE) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah itu diadakan sempena sambutan Hari Jururawat Sedunia dan Hari Penolong Pegawai Perubatan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Nizam Abu Bakar Titingan berkata sukan merupakan medium berkesan untuk menyatukan komuniti melalui matlamat kesihatan yang sama.
“Hari ini kita bergerak menuju satu matlamat yang lebih besar iaitu membina masyarakat yang lebih sihat, penyayang dan lebih bersatu,” katanya ketika merasmikan majlis penutupan program berkenaan.
Menurut Nizam, larian amal seumpama itu bukan sahaja memberi manfaat kepada kesihatan fizikal malah berperanan penting dalam memperkukuh nilai kemanusiaan serta perpaduan.
Sementara itu, Pengarah HQE, Abd Kahar Abd Asis berpendapat penganjuran larian tersebut memberi pengiktirafan terhadap peranan petugas kesihatan dalam memperkukuh sistem perkhidmatan negara.
“Program ini juga menjadi platform meningkatkan kesedaran komuniti mengenai kepentingan aktiviti fizikal dalam kehidupan seharian,” katanya.
Larian tersebut mempertandingkan tujuh kategori bagi jarak tujuh kilometer antaranya kategori terbuka, veteran dan junior selain kategori Costume Fun Run sejauh tiga kilometer.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan berjumlah RM3,000 kepada Persatuan Thalassemia Sabah yang disampaikan oleh Nizam kepada pengerusinya, Francis Mujim.
-RJ-





