Skip to main content
Berita TempatanSabah

Tawau Jadi Pentas Bakat Muda Liga Bola Keranjang Sabah

By 27 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip/Hendry Nurdin (Tawau)

TAWAU, 27 April (MalaysiaAktif) – Penganjuran Kejohanan Bola Keranjang Bawah 17 Tahun Peringkat Negeri Sabah Ke-55 di sini menjadi langkah strategik dalam memperkukuh pembangunan sukan tersebut di peringkat negeri.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata pemilihan Tawau sebagai tuan rumah mencerminkan keupayaan daerah itu dalam menganjurkan kejohanan berprestij.

“Program seperti ini sangat baik dalam mempergiatkan sukan di samping menarik minat golongan belia untuk aktif dalam bola keranjang,” katanya ketika merasmikan kejohanan itu di Stadium Persatuan Bola Keranjang Kampung Jawa, di sini semalam.

Menurut Nizam, kejohanan berkenaan berperanan sebagai medium penting dalam usaha merekrut pemain berbakat untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Beliau menjelaskan bahawa platform tersebut juga merupakan antara cara terbaik bagi mencari bakat baharu untuk mewakili Sabah ke kejohanan besar seperti Sukan Malaysia (SUKMA).

“Saya yakin program seumpama ini mampu melahirkan atlet yang boleh mewakili negeri ke peringkat kebangsaan pada masa hadapan,” katanya.

Nizam turut menekankan keperluan memperkasa sistem liga tempatan bagi memberi lebih banyak pendedahan kepada pemain seiring dengan perkembangan pesat sukan tersebut di negeri lain.

Beliau telah meminta komitmen serius daripada kepimpinan persatuan untuk menyusun sistem latihan dan pertandingan yang lebih tersusun bagi meningkatkan kualiti sukan berkenaan.

“Kerajaan negeri akan menyokong usaha ini sekiranya ia dilaksanakan dengan komitmen tinggi termasuk penyertaan dalam liga kebangsaan,” katanya.

Penganjuran kejohanan ini membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memastikan pembangunan sukan bola keranjang di Sabah terus dinamik dan berdaya saing.

-RJ-

Tinggalkan komen anda