
Laporan/foto: Aiman Alimin (Kelantan)
TUMPAT, 27 April (MalaysiaAktif) – Tukun tiruan berfungsi sebagai struktur perlindungan yang membolehkan pembiakan ikan berlaku dengan lebih baik, kata Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Kelantan, Ismail Ibrahim.
Beliau berkata tukun tiruan berperanan sebagai lubuk ikan baharu yang mampu meningkatkan hasil tangkapan nelayan, sekali gus membantu menambah pendapatan golongan berkenaan.
“Di kawasan tertentu, khususnya tukun rekreasi, struktur berkenaan berpotensi menjadi tarikan pelancongan dan menyokong aktiviti eko pelancongan seperti selam skuba,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Melabuh Tukun Tiruan Kuboid Juvenil dan Penghalang Pukat Tunda (Konservasi) bagi Projek Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) di perairan Tumpat, bermula dari Kompleks LKIM Geting, di sini hari ini.
Program tersebut merupakan antara usaha pemuliharaan sumber perikanan di Kelantan selain sebagai langkah strategik melindungi ekosistem marin, memulihkan habitat hidupan laut serta memastikan kelestarian sumber perikanan untuk manfaat komuniti setempat.
Inisiatif oleh Pejabat Perikanan Negeri Kelantan itu juga bagi memastikan pengurusan sumber marin dilaksanakan secara mampan dan berterusan.
-AA-





