
Laporan/foto: Aishah Latip (Lundu)
LUNDU, 28 April (MalaysiaAktif) — Akademi Aeroangkasa Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Lundu membuka peluang kepada lebih 250 anak Sarawak untuk menceburi industri aeroangkasa berteknologi tinggi.
Ketua Kampus CENTEXS Lundu, Dr. Nor Ashikin Abdul Rahman berkata program yang ditawarkan bukan sahaja memberi pendedahan kemahiran teknikal, malah membuka peluang membina masa depan lebih cerah.
“Ramai dalam kalangan pelatih ini datang daripada latar belakang sederhana, namun diberi peluang mengikuti latihan secara percuma dengan kemudahan lengkap termasuk penginapan serta makan minum sepanjang tempoh pengajian,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini hari ini.
Menurut beliau, kejayaan program itu terbukti apabila kesemua alumni kohort pertama Sheet Metal berjaya memperoleh pekerjaan sebaik tamat pengajian pada Februari lalu di SME Aerospace Sdn Bhd, Subang.
Pencapaian tersebut membuktikan keupayaan anak Sarawak untuk bersaing dalam industri aeroangkasa negara, sekali gus menjadi titik perubahan dalam kehidupan pelatih dan keluarga mereka.
Beliau berkata CENTEXS Lundu yang sinonim dengan mercu tanda helikopter sebagai simbol aeroangkasa juga terus komited melahirkan tenaga mahir tempatan yang memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi.
“Pengambilan bagi sesi April 2026 kini dibuka kepada calon layak, khususnya lepasan sekolah. Antara program yang ditawarkan termasuk Kepingan Logam Aeroangkasa (Aerospace Sheet Metal) dan Operasi Pemesinan Aeroangkasa (Aerospace Machining Operations).
“Turut ditawarkan ialah bidang Pendawai Elektrik Plus, Teknologi Kimpalan (3G Plus), Seni Kuliner, Hospitaliti, Fotografi & Pencipta Kandungan Media Sosial, Pemasaran Digital, serta Pembangunan Aplikasi Mudah Alih Android,” katanya.
Individu berminat boleh menghubungi talian 019-806 8609 atau mengikuti hebahan rasmi melalui media sosial CENTEXS Lundu.
-FN





