
Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)
PENDANG, 28 April (MalaysiaAktif) – Sebanyak 89 buah rumah dilaporkan terjejas akibat ribut kuat yang melanda beberapa kawasan di Pendang petang semalam.
Kejadian sekitar 6.30 petang itu bermula dengan hujan lebat dan angin kencang selama 30 minit hingga menyebabkan kerosakan terutama pada bahagian bumbung dan siling rumah di kediaman terlibat selain pokok tumbang.
Lima mukim terjejas ialah Mukim Air Puteh, Mukim Padang Pusing, Mukim Rambai, Mukim Guar Kepayang dan Mukim Padang Peliang dengan keseluruhan 21 kampung terkesan.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Pendang, Lt. (PA) Yuslina Yusoff berkata kerja-kerja pembersihan selesai sepenuhnya pada hari ini dan semua laluan selamat untuk digunakan.
“Hasil pemantauan mendapati pokok-pokok tumbang di beberapa lokasi telah dibersihkan sepenuhnya manakala laluan trafik juga kembali pulih seperti biasa,” menurut kenyataan yang dikeluarkan.
Tinjauan Malaysia Aktif di beberapa lokasi mendapati sebahagian mangsa telah mengambil inisiatif membaiki sendiri kerosakan kecil pada kediaman masing-masing sementara menunggu bantuan pihak berwajib.
-AA-





