
Laporan/foto: Loseyeffer Molly/Felix Harus/Amazing Serembu (Bau)
SEREMBU, 28 April (MalaysiaAktif) — Penganjuran Piala Prima Bidayuh 2026 menjadi platform strategik bagi mencungkil bakat belia selain memperkukuh perpaduan komuniti menerusi sukan bola sepak.
Karnival tersebut menghimpunkan penyertaan lapan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masyarakat Bidayuh dengan DUN Serembu dipilih sebagai tuan rumah tahun ini.
Setiausaha penganjur, Kaunselor Prem Notes berkata kejohanan itu bukan sekadar persaingan sihat malah bertindak sebagai medan penyatuan masyarakat dan memupuk semangat kesukanan.
“Karnival ini merupakan platform penyatuan masyarakat Bidayuh bagi mengeratkan hubungan antara kampung yang terlibat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Selain Serembu, kejohanan tersebut turut melibatkan penyertaan daripada DUN Opar, Tasik Biru, Mambong, Tarat, Tebedu, Kedup dan Bukit Semuja.
Pertandingan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu veteran, pemuda serta wanita bagi memastikan penglibatan inklusif seluruh lapisan komuniti.
Kategori veteran berlangsung di Padang Kampung Segubang dan Kampung Podam, manakala kategori pemuda di Padang Krokong serta Kampung Skio.
Bagi kategori wanita, perlawanan diadakan di Padang Kampung Kandis Baru dan Kampung Merembeh sepanjang tempoh karnival berlangsung.
Kemuncak karnival dijadualkan pada 2 Mei depan dengan majlis penyampaian hadiah yang akan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato’ Sri Roland Sagah Wee Inn.
-RJ-





