Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Hospital Sri Aman Terima Anugerah EMGS 3 Bintang

By 28 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)/Hospital Sri Aman

SRI AMAN, 28 April (MalaysiaAktif) — Hospital Sri Aman berjaya meraih Anugerah EMGS 3 Bintang di bawah program Skim Pengurusan Tenaga ASEAN (EMGS) sekali gus membuktikan kecemerlangan dalam tadbir urus tenaga mampan.

Pengiktirafan berprestij itu telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh kepada Pengarah Hospital Sri Aman, Dr Hazwani Mohd Yusop di ibu negara, baru-baru ini.

Kejayaan tersebut mencerminkan komitmen berterusan hospital dalam melaksanakan amalan pengurusan tenaga secara sistematik selaras dengan aspirasi negara ke arah pembangunan rendah karbon.

Dr Hazwani berkata, pencapaian itu merupakan hasil usaha kolektif warga hospital bersama rakan strategik termasuk pihak konsesi One Medicare dalam memastikan inisiatif kecekapan tenaga dijalankan secara konsisten.

“Anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan tetapi satu amanah untuk kami terus memperkukuh budaya kerja berteraskan kelestarian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Hazwani, pengurusan tenaga yang cekap bukan sahaja mampu menjimatkan kos operasi malah menyumbang kepada persekitaran hospital yang lebih selesa untuk pesakit serta petugas.

Beliau menjelaskan pihak hospital akan terus memperluas penggunaan teknologi hijau serta memperkasa kesedaran dalam kalangan kakitangan mengenai kepentingan penggunaan sumber tenaga secara berhemah.

“Kami komited menjadikan Hospital Sri Aman sebagai model hospital hijau di peringkat negeri dengan memberi tumpuan kepada inovasi serta pemantauan berterusan,” tambah beliau.

Kejayaan meraih penarafan tiga bintang itu turut membuktikan keberkesanan kolaborasi strategik antara sektor awam dan industri dalam memperkasa agenda kelestarian alam sekitar.

Penarafan tersebut juga selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di peringkat serantau bagi menjamin kelestarian sumber pada masa hadapan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda