Skip to main content
Berita TempatanSarawak

132 Jemaah Haji Sarawak Berlepas ke Tanah Suci

By 1 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norlia Mili (Sarawak)

KUCHING, 1 Mei (MalaysiaAktif) – Seramai 132 jemaah haji dari Sarawak diraikan dalam Majlis Keberangkatan Jemaah Haji Sarawak bagi menunaikan rukun Islam kelima di sini, semalam.

Majlis pelepasan tersebut disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Pengarah Operasi Haji Tanah Air (OHTA) Stesen Kuching, Madehi Mahdan berkata seramai 921 jemaah dari negeri ini terpilih untuk menunaikan haji pada tahun ini.

“Kesemua jemaah telah melalui proses persiapan rapi oleh Lembaga Tabung Haji (TH) merangkumi kursus bersiri, intensif dan perdana bagi memastikan kefahaman ibadah yang jelas,” katanya di sini, semalam.

Menurut Madehi, persiapan tersebut amat kritikal bagi membina ketahanan mental dan rohani jemaah termasuk pemahaman mendalam mengenai hukum-hakam serta rukun haji.

Beliau turut mengingatkan para jemaah agar sentiasa menjaga kesihatan dan mematuhi arahan pihak TH berikutan cuaca panas di Tanah Suci bagi mengelakkan risiko strok haba.

Dalam pada itu, seorang jemaah dari Miri, Muhammad Hisyamuddin Kushairi, 28, menzahirkan rasa syukur kerana berpeluang menunaikan ibadah tersebut pada usia muda bersama ahli keluarganya.

“Bagi mereka yang masih menunggu giliran, teruskan berdoa dan buatlah persediaan rapi dari segi kewangan serta ilmu agar sentiasa bersedia apabila dipanggil kelak,” ujarnya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda