
Laporan/foto: Aini/SW Corp Perlis
KANGAR, 1 Mei (MalaysiaAktif) – Tiga individu yang disabitkan bersalah membuang sampah kecil menjalani hukuman Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) di sekitar Kangar Jaya, di sini hari ini.
Pelaksanaan hukuman di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dari 9 pagi hingga 1 tengah hari itu merupakan sebahagian daripada PKM siri ke-7 yang dilaksanakan secara serentak melibatkan tujuh negeri serta siri ke-3 bagi negeri Perlis.
Kesemua pesalah yang merupakan warganegara Malaysia didapati melakukan kesalahan membuang puntung rokok di tempat awam diarahkan menjalankan aktiviti pembersihan termasuk menyapu jalan dan membersihkan longkang di bawah pemantauan pegawai penguat kuasa SWCorp.
Pengarah SWCorp Negeri Perlis, Fadil Idris berkata pelaksanaan hukuman berbentuk khidmat masyarakat ini dilihat sebagai pendekatan lebih berkesan dalam mendidik pesalah agar lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran.
“Pendekatan PKM ini bukan sahaja memberi pengajaran kepada pesalah, malah mampu meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan menjaga kebersihan kawasan awam,” katanya kpada Malaysia Aktif.
Beliau berkata kesemua pesalah telah menyempurnakan sesi empat jam aktiviti pembersihan pada hari ini, manakala baki tempoh hukuman perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selaras dengan perintah mahkamah.
Menurut beliau, sehingga kini sebanyak 173 Notis Pematuhan Kompaun (NPK) telah dikeluarkan di Negeri Perlis, dengan 13 kes telah didakwa di mahkamah melibatkan jumlah keseluruhan denda sebanyak RM7,200 serta hukuman PKM antara enam hingga lapan jam.
-AA-





