
Laporan/foto: Iswandi Kassim/IPD Sri Aman (Sri Aman)
SRI AMAN, 1 Mei (MalaysiaAktif) — Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang hilang sejak Selasa lalu dipertingkatkan dengan penggunaan teknologi dron dan penglibatan komuniti setempat.
Memasuki hari keempat, operasi pencarian kini tertumpu kepada pengesanan melalui udara bagi meliputi kawasan sukar diakses termasuk belukar tebal di sekitar Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Aman.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, Supt. Dennis Bunyam berkata penggunaan dron membantu memperluaskan skop pencarian merangkumi kawasan paya serta struktur bangunan berhampiran lokasi kejadian.
“Teknologi ini membolehkan pemantauan menyeluruh dilakukan khususnya di zon yang sukar dimasuki pasukan darat,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Menurut Dennis, usaha pencarian turut diperkukuh dengan penglibatan sukarelawan daripada pelbagai Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Mangsa, Law Ching Sing, 12, yang berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dilaporkan hilang kira-kira jam 8.40 pagi pada 28 April lalu ketika berada di kawasan sekolah tersebut.
Kehilangan mangsa disedari oleh seorang guru sebelum pihak sekolah bertindak membuat laporan polis selepas kanak-kanak itu dipercayai meninggalkan kawasan sekolah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman di talian 083-322035 atau pegawai penyiasat di talian 011-14037375.
-RJ





