
Laporan/foto: Suhaime Sahirul (Sipitang)
SIPITANG, 4 Mei (MalaysiaAktif) – Penyertaan memberangsangkan golongan belia dalam Pertandingan Randawi Tavantang Kaamatan (RTK) Daerah Sipitang membuktikan platform tersebut masih signifikan bagi melestarikan tradisi etnik tempatan.
Pengerusi RTK Peringkat Daerah Sipitang Edwan Abo berkata pertandingan tahun ini menampilkan tujuh peserta akhir yang berusia antara 19 hingga 30 tahun.
Beliau menjelaskan kesemua peserta memiliki pelbagai bakat termasuk menari tarian tradisi serta mahir bertutur dalam bahasa etnik.
“RTK ini dahulu dikenali sebagai Buvanzoi Tavantang Kaamatan dan kini dijenamakan semula sebagai Randawi Tavantang Kaamatan,” katanya selepas pertandingan tersebut di sini, kelmarin.
Edwan berharap penyertaan golongan pemuda terus mendapat sambutan demi meneruskan budaya dan tradisi dari semasa ke semasa.
Dalam pada itu, juara RTK Daerah Sipitang Beanny Adrian Laurince percaya pertandingan seumpama itu membuka ruang kepadanya untuk menjadi duta kebudayaan dengan memperkasa dan mengangkat nilai kebudayaan tempatan dalam kalangan belia di Sabah.
“Kelestarian budaya dapat diteruskan menerusi pertandingan tradisi sebegini selain mencungkil bakat golongan muda supaya tidak ditelan zaman,” jelasnya.
-RJ-





