
Laporan/foto: Maznah Ngah/Ahamad Syafri Husnaini (Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 6 Mei (MalaysiaAktif) – Kampung Budaya Terengganu yang terletak di Kompleks Muzium Negeri Terengganu kini tampil dengan wajah baharu hasil projek menaik taraf yang bukan sahaja memperkukuh infrastruktur, malah memperkasa pemeliharaan seni dan budaya warisan negeri.

Shaharuddin, menyampaikan ucapan pada majlis penyerahan Projek Membina dan Menaik Taraf Kampung Budaya Terengganu.
Inisiatif ini dilihat sebagai langkah strategik dalam menjadikan Kampung Budaya Terengganu sebagai produk pelancongan budaya yang lebih dinamik dan berdaya saing. Ia turut mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam memastikan pembangunan fizikal seiring dengan pemerkasaan identiti budaya tempatan.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, berkata projek tersebut berjaya direalisasikan hasil sokongan padu Kerajaan Persekutuan melalui MOTAC.
“Kampung Budaya Terengganu berfungsi sebagai platform interaktif yang mengetengahkan keunikan seni tradisional, adat resam, seni bina warisan serta gaya hidup masyarakat tempatan kepada generasi masa kini dan akan datang,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan projek membina dan menaik taraf Kampung Budaya Terengganu, semalam.
Beliau turut memaklumkan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Kerajaan Persekutuan melalui MOTAC telah meluluskan sebanyak 76 projek di Terengganu dengan jumlah peruntukan melebihi RM31 juta.
“Manakala untuk Rancangan Malaysia Ke 13 (RMK-13), sehingga April 2026, sebanyak sembilan projek di Terengganu telah diluluskan dengan nilai peruntukan lebih RM22juta. Ini sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa sektor pelancongan dan kebudayaan negara,” katanya.

Shaharuddin mencuba pengalaman mencanting batik di Kampung Budaya Terengganu.
Penambahbaikan yang dilaksanakan merangkumi kemudahan yang lebih moden, selamat dan selesa, sekali gus diyakini mampu meningkatkan daya tarikan Kampung Budaya Terengganu sebagai destinasi pelancongan budaya utama. Secara tidak langsung, ia turut merangsang pertumbuhan ekonomi setempat, membuka peluang pekerjaan serta menggalakkan penglibatan komuniti dalam aktiviti kebudayaan.
Kejayaan projek ini juga merupakan hasil kerjasama erat pelbagai pihak termasuk Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu sebagai pemilik projek, Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kuala Terengganu selaku agensi pelaksana serta Lembaga Muzium Negeri Terengganu.
Beliau turut menegaskan bahawa aspek penyelenggaraan perlu diberi perhatian berterusan bagi memastikan kelestarian projek ini. Penjagaan rapi terhadap kemudahan dan infrastruktur bukan sahaja menjamin keselesaan pengunjung, malah membantu mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan kerajaan yang semakin terhad.
-RI





