
Laporan/foto: Ng Chip Kiang/Borhan Basah (Sarawak)
KUCHING, 6 Mei (MalaysiaAktif) – Program TVET MyKomoditi dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkasa kerjaya belia sekali gus menangani kekurangan tenaga kerja tempatan dalam sektor agrikomoditi.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Noraini Ahmad berkata sektor agrikomoditi kini sedang mengalami perubahan signifikan dan bukan lagi sektor tradisional.
Beliau menjelaskan sektor ini mencatatkan prestasi memberangsangkan pada tahun 2025 dengan nilai eksport mencecah RM196.72 bilion.
“Pencapaian tersebut membuktikan kepentingannya sebagai antara penyumbang utama kepada ekonomi negara,” katanya semasa merasmikan program tersebut di sini, kelmarin.
Noraini menambah pelaksanaan program bersama Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) mampu melengkapkan belia dengan kemahiran praktikal.
Langkah tersebut diyakini dapat mengubah persepsi lapuk yang mengaitkan sektor perladangan dengan pekerjaan kotor, bahaya dan sukar.
Peserta program Francis Genali Jeffery, 20, berkata penyertaannya dalam Kursus Harvesting Specialist selama tiga bulan membuka peluang luas dalam kerjaya.
Francis kini telah ditawarkan pekerjaan di SD Guthrie, Bintulu selepas tamat menjalani latihan di Sarawak Skills.
“Sijil kemahiran yang dimiliki meningkatkan keyakinan diri saya untuk melaksanakan tugas dengan lebih baik,” katanya yang merancang untuk menimba pengalaman kerja terlebih dahulu sebelum menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi pada masa hadapan.
-RJ-






