
Laporan/Foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)/KPDN Sri Aman
SRI AMAN, 8 Mei (MalaysiaAktif) – Kerjasama rentas agensi penting dalam melindungi kedaulatan ekonomi Lubuk Antu yang merupakan sempadan antara Malaysia dan Indonesia.
Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sri Aman Qartinee Mohamad Esa berkata kedudukan Lubuk Antu menyebabkan daerah itu berdepan cabaran unik termasuk risiko penyeludupan barang kawalan dan ketirisan subsidi.
“Daerah Lubok Antu yang terletak berhampiran sempadan negara berdepan cabaran unik termasuk risiko penyeludupan barang kawalan dan ketirisan subsidi.
“Justeru, kerjasama strategik bersama PDRM (Polis Diraja Malaysia) amat penting bagi memastikan setiap operasi dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan selamat,” katanya ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Polis Daerah Lubok Antu, DSP Pricha Azin di Ibu Pejabat Polis Daerah Lubok Antu, di sini semalam.
Pertemuan itu bertujuan menyelaras gerak kerja kedua-dua agensi penguat kuasa, khususnya dalam mengekang aktiviti ketirisan barang kawalan dan subsidi di kawasan sempadan Malaysia–Indonesia melibatkan daerah Lubok Antu.
Beliau berkata sokongan keselamatan daripada PDRM merupakan elemen penting dalam memperkukuh keberkesanan operasi di lapangan, khususnya di kawasan berisiko tinggi.
Dalam pada itu, beliau menegaskan komitmen pihaknya untuk terus memperkasakan Op Tiris 4.0 bagi membanteras penyelewengan barang kawalan yang boleh menjejaskan kestabilan bekalan serta ekonomi rakyat.
“Fokus kami adalah memastikan subsidi kerajaan sampai kepada kumpulan sasar yang layak, di samping mengekang sebarang bentuk penyalahgunaan dan aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan,” katanya.
-RJ-





