Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

JBPM Sasar Pingat Emas Anugerah Integriti Sektor Awam

By 9 Mei 2026Mei 11th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syamilah Yusman/Mohd Zahid Othman (Johor)

JOHOR BAHRU, 9 Mei (MalaysiaAktif) – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berhasrat menjadi antara agensi peneraju integriti sektor awam dengan menyasarkan kejayaan meraih pingat emas dalam Anugerah Integriti Sektor Awam pada masa akan datang.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan terus memperkukuh aspek tadbir urus, ketelusan, disiplin serta integriti dalam perkhidmatan kebombaan bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap JBPM kekal tinggi.

Menurut beliau, kejayaan JBPM menerima Anugerah Platinum Integriti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 2024 membuktikan komitmen tinggi warga bomba dalam mengamalkan nilai amanah dan tadbir urus terbaik.

“Walaupun pengiktirafan itu tidak berjaya dipertahankan tahun lalu, ia perlu dijadikan pemangkin untuk JBPM terus memperkukuh integriti serta meningkatkan kecemerlangan perkhidmatan secara berterusan,” katanya ketika merasmikan Karnival Hari Anggota Bomba Sedunia 2026 di Angsana Johor Bahru Mall, di sini hari ini.

Katanya, peranan anggota bomba kini semakin mencabar berikutan peningkatan insiden kompleks dan berisiko tinggi, namun JBPM terus membuktikan tahap kecekapan serta profesionalisme yang membanggakan.

“Ini termasuk dalam pengendalian insiden berprofil tinggi seperti letupan gas di Putra Heights tahun lalu dan kebakaran di Sandals pada April lalu,” katanya.

-AA-

Tinggalkan komen anda