
Laporan/foto: Syamilah Yusman/Mohd Zahid Othman (Johor)
JOHOR BAHRU, 9 Mei (MalaysiaAktif) – Kelahiran Brave, anak kepada anjing pengesan baka Labrador di bawah seliaan Unit Anjing Pengesan K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), menjadi simbol harapan baharu dalam usaha memperkukuh keupayaan operasi pasukan berkenaan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata anak anjing yang dilahirkan pada 18 Mac lalu itu kini berusia 52 hari serta berada dalam keadaan sihat, aktif dan mampu menyusu sendiri.
Menurut beliau, Brave merupakan anak kepada anjing pengesan baka Labrador, Lottie yang dikendalikan Pegawai Bomba Kavin Raj Nagaselvan dan Miles daripada disiplin Urban Disaster Search and Rescue (UDSAR).
“Kelahiran Brave membawa harapan besar dalam melahirkan generasi baharu anjing pengesan yang cekap dan berani demi keselamatan rakyat serta negara,” katanya ketika berucap pada Karnival Hari Anggota Bomba Sedunia 2026 di Angsana Johor Bahru Mall, di sini hari ini.
Beliau berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi JBPM sebelum ini telah melancarkan inisiatif Sentuhan Kejayaan yang memberi fokus kepada pemerkasaan Unit Anjing Pengesan K9.
Tambahnya, unit berkenaan terbukti memainkan peranan penting dalam mempercepat operasi pencarian mangsa serta menyokong pelbagai misi bencana termasuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) tragedi Batang Kali dan gempa bumi di Turkiye.
“Bagi memperkukuh kapasiti operasi K9, Kerajaan MADANI telah meluluskan peruntukan RM2.4 juta bagi perolehan 16 ekor anjing pengesan baharu dari United Kingdom.
“Kerajaan juga merancang pembangunan Pusat Operasi K9 di Bertam, Pulau Pinang bagi melaksanakan program pembiakan domestik untuk memenuhi keperluan operasi pada masa hadapan,” katanya.
-AA-





