
Laporan/foto: Sumardi Sugiman/Ali Katok (Limbang)
LIMBANG, 10 Mei (MalaysiaAktif) – Penganjuran Bazaar Gawai Agro Tamu Medamit 2026 di Dewan Terbuka Tamu Medamit terus menjadi platform penting dalam merancakkan ekonomi komuniti luar bandar menerusi penglibatan usahawan kecil dan petani tempatan di Pekan Medamit, kelmarin.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata bazaar yang telah beroperasi selama 10 tahun itu dirangka bagi membantu usahawan kecil dan petani luar bandar menjana pendapatan melalui penyediaan gerai jualan serta peluang memasarkan produk tempatan.
“Penganjuran acara ini berjaya memeriahkan Pekan Medamit dan menghidupkan semula aktiviti ekonomi kawasan ini sekali gus menjadi platform untuk menjual hasil pertanian dan produk agro,” katanya.
Menurut beliau, program anjuran Jawatankuasa Tamu Medamit dengan kerjasama Majlis Daerah Limbang itu bukan sahaja memberi manfaat ekonomi, malah berperanan memperkukuh perpaduan komuniti setempat.
“Acara ini memberi kesan besar dalam mengukuhkan hubungan dan memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk setempat dan pengunjung melalui aktiviti kebudayaan dan hiburan tradisional,” katanya.
-RJ-





