
Laporan/foto: Rokayah Gobik/Ariffin Rosli (Sarawak)
NIAH, 13 Mei (MalaysiaAktif) – Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Batu Niah komited memperkasa golongan Orang Kurang Upaya (OKU) menerusi pelbagai latihan pembangunan diri bagi membantu mereka lebih berdikari.
Penyelia PPDK Batu Niah, Maureen Muntai Majit berkata sehingga kini seramai 25 pelatih berdaftar mengikuti latihan di pusat tersebut yang terdiri daripada pelbagai kategori ketidakupayaan.
“PPDK bukan sekadar tempat pembelajaran, tetapi platform membina keyakinan diri dan memberi peluang kepada pelatih berinteraksi dengan masyarakat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau turut menekankan kepentingan sokongan keluarga bagi memastikan anak-anak OKU tidak tersisih serta berpeluang mengembangkan potensi diri.
Sementara itu, tenaga pengajar, Suriati Yusia Labo, 48, yang telah berkhidmat selama sembilan tahun berkata pengalaman mendidik pelatih OKU banyak mengajar tentang keperluan dan cabaran golongan itu.
“Setiap pelatih mempunyai keistimewaan tersendiri dan kami sentiasa berusaha mendidik mereka dengan penuh kesabaran,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa PPDK Batu Niah, Zehan Yaman menggalakkan ibu bapa mendaftarkan anak OKU dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu meningkatkan kemahiran serta keyakinan diri mereka.
-RJ-





