
Laporan/foto: Siti Nor Aishah Che Hassan/Izamuddin Jusoh (Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 13 Mei (MalaysiaAktif) – Peserta Program SKILLBOX@Kelab Malaysiaku Zon Semenanjung dari kontinjen Terengganu mencatat kejayaan membanggakan apabila berjaya meraih beberapa anugerah utama hasil penguasaan cemerlang dalam setiap modul yang dilaksanakan sepanjang program.
Antara kejayaan yang dicapai ialah Anugerah Peserta Terbaik Modul Pembelajaran Pengacaraan Majlis, Pengurusan Acara, Pengucapan Awam serta Modul Komunikasi Mobile Journalism (MoJo).
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Tengku Ampuan Intan Muhammad Wafiq Zikry Shaipu Bhari, 16, yang menerima Anugerah Peserta Terbaik Modul Pembelajaran Pengurusan Acara, berkata program tersebut memberi banyak pengalaman baharu serta membentuk nilai kepimpinan dan semangat kerjasama dalam diri peserta.
“Saya berterima kasih kepada Jabatan Penerangan (JAPEN) kerana terpilih menyertai program ini. Banyak ilmu dan pengalaman baharu yang saya peroleh terutama dalam aspek kepimpinan, komunikasi dan pembentukan sahsiah diri,” katanya, di sini semalam.
Sementara itu, penerima Anugerah Peserta Terbaik Modul Komunikasi Mobile Journalism (MoJo) Nur Kamalia Sofrina Khiri Azam, 16, dari Sekolah Menengah (SM) Sains Kuala Terengganu, menyifatkan penyertaannya amat bermakna dan tidak menyangka akan menerima pengiktirafan tersebut.
Menurutnya, pelbagai modul menarik dan berimpak tinggi seperti pengacaraan majlis, pengurusan acara, pengucapan awam, MoJo serta kesenian dan kebudayaan banyak membantu meningkatkan keyakinan diri serta kemahiran penyampaian maklumat secara kreatif dan profesional.
Kejayaan tersebut membuktikan pelajar Terengganu mempunyai bakat besar dalam bidang komunikasi, pengucapan dan media digital selain mampu bersaing secara sihat dengan peserta dari seluruh negara.
Program berlangsung di Kem Permata Resort, Alor Gajah, Melaka dari 8 hingga 10 Mei lalu yang menghimpunkan pelajar dari seluruh Semenanjung Malaysia itu menjadi platform terbaik dalam mencungkil bakat serta meningkatkan kemahiran komunikasi, kepimpinan dan jati diri dalam kalangan ahli Kelab Malaysiaku.
Menerusi modul komunikasi yang dijalankan, peserta turut diberi peluang menjalani latihan praktikal, simulasi pengendalian acara serta penghasilan kandungan media digital bagi meningkatkan kemahiran bekerja secara berpasukan.
-RI





