
Laporan/foto: Rahman Ishak/Facebook Fahmi Fadzil
PUTRAJAYA, 13 Mei (MalaysiaAktif) – Kerajaan Malaysia sama sekali tidak dapat menerima alasan-alasan yang dikemukakan oleh kerajaan Norway yang membatalkan pembekalan peluru berpandu kepada Malaysia pada saat-saat akhir.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata tindakan itu menyebabkan syarikat Norway yang terlibat tidak dapat meneruskan pembekalan seperti yang telah dipersetujui.
“Ia (alasan) bukan berkaitan syarikat tetapi adalah keputusan kerajaan Norway tidak memberikan permit eksport kepada syarikat tersebut untuk menghantar peluru berpandu yang ditempah,” katanya pada sidang media mingguan, di sini hari ini.
Beliau berkata kontrak tersebut telah dimeterai sejak tahun 2018 dan telah dilaksanakan tanpa sebarang isu serta semua aspek pembayaran kontrak telah dibuat mengikut jadual.
Menurut Jurucakap Kerajaan MADANI itu, usaha melalui saluran diplomatik kini sedang dilaksanakan selain kerajaan Malaysia turut mempertimbang tindakan susulan yang sewajarnya dari sudut perundangan.
“Perancangan dan pelaksanaan pelan pertahanan negara merupakan kepentingan strategik yang tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan,” katanya.
Semalam, Menteri Pertahanan Dato’ Seri Khaled Nordin dilaporkan akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan Norway pada akhir bulan ini di Singapura bagi mendapatkan penjelasan berhubung keputusan kerajaan negara itu menyekat lesen eksport peluru berpandu antikapal (NSM) kepada Malaysia.
-FN





