
Laporan/foto: Azza Aziz/Facebook Fahmi Fadzil
PUTRAJAYA, 13 Mei (MalaysiaAktif) – Kajian Khazanah Research Institute (KRI) mendapati kadar penyertaan penjaja dan peniaga kecil dalam program bantuan kewangan formal masih berada pada tahap rendah.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung hari ini selepas meneliti hasil kajian dan kaji selidik institut berkenaan.
“Antara sebab yang telah dibangkitkan dalam laporan tersebut (adalah) berkait status perniagaan yang tidak berdaftar.
“Berdasarkan kajian tersebut, hanya lima peratus peniaga mendapat bantuan melalui Bank Simpanan Nasional, TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia dan lain-lain program,” katanya pada Sidang Media Mingguan, di sini hari ini.
Beliau berkata Perdana Menteri telah meminta agar kementerian yang berkenaan mengadakan sesi libat urus bersama penjaja bagi memahami isu yang dihadapi mereka.
“Ini bagi memastikan bantuan kewangan formal dapat dilanjutkan dan dipanjangkan kepada mereka,” katanya.
-FN





